Thursday, June 20, 2013

Sambal Lada Serbaguna

Assalamualaikum w.b.t..........

Hari ni nak cerita sikit tentang sambal ataupun biasa orang panggil cili boh. Banyak negara yang gemar menggunakan cili boh / cili giling di dalam masakkan mereka. Tak kurang juga bagi masyarakat di negara Malaysia ini sendiri. Kekuatan cili giling itu sendiri menjadi tarikkan bagi si tukang masak untuk menambahnya di dalam setiap hidangan mereka. Ada sesetengah hidangan takkan terhasil dengan sempurna tanpa campur tangan cili giling. Begitulah kuatnya kuasa cili giling di dalam masakkan yang mampu membuatkan hidangan menjadi lazat.

Walaubagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya sendiri, bila di rumah tak ada cili boh, yang ada cuma lada kering yang belum diproses menjadi cili boh. Kekadang rasa malasnya nak proseskan lada kering tersebut sebelum digunakan di dalam masakkan. Hmmmm....kadang-kadang malas ni boleh jadi pemusnah untuk kita menghasilkan hidangan yang lazat-lazat.

Okay, apa masakkan yang boleh kita gunakan cili giling? Sudah tentu banyakkan? Hidangan yang popular sudah tentulah ayam / ikan / daging masak sambal, mi / mihun / kuey teow goreng dan beraneka lagi hidangan yang memerlukan cili giling sebagai watak utamanya. Anda pun sudah pasti terbayangkan hidangan-hidangan tersebutkan?

Di sini saya akan kongsikan resepi sambal lada yang dimasak terlebih dulu dengan jumlah yang banyak lalu disimpan di dalam peti sejuk. Tujuan di masak terlebih dahulu ini adalah bertujuan supaya sambal lada tersebut lebih tahan lama dan juga memudahkan kerja-kerja memasak kemudiannya nanti.

Bahan - bahan untuk memasak sambal :

RM 4 - lada kering digunting2 dan direbus sehingga lembut
2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 inci belacan bakar
1 genggam penuh udang geragau
1 genggam ikan bilis yang telah disiang
Air asam jawa
Sedikit garam dan gula

Bahan - bahan tersebut hendaklah dikisar (kecuali air asam jawa) terlebih dahulu dan kemudiannya, panaskan kuali dan minyak (agak-agaklah minyaknya), lalu bolehlah dimasukkan semua bahan - bahan yang telah dikisar tadi. Masak sambil dikacau sambalnya bagi mengelakkan hangus dan sehingga naik minyak. Kemudian masukkan pula air asam jawa / cuka serta sedikit garam dan gula . Selesai sudah.Mudah bukan? Nah...dari sambal inilah kemudiannya nanti kita tambahkan dalam hidangan kita dan ianya banyak membantu memudahkan dan melancarkan proses memasak itu sendiri.

Cubalah tuan / puan membuat sambal ini sendiri dan nikmatilah proses memasak dengan rileks dan gembira. Jangan lupa mulakan setiap kerja kita dengan Basmallah supaya ianya bertambah berkat. Selamat mencuba!!








No comments:

Post a Comment